PUTRAJAYA: Kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung Disember lalu didakwa menyokong pembelaan Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah hampir RM2.3 bilion.
Najib ketika memberikan keterangan bela dirinya sejak 2 Disember lalu berulang kali menyatakan bahawa pendakwaan yang dikenakan terhadapnya adalah bermotifkan politik dan dilakukan secara tergesa-gesa
“Saya percaya kenyataan terbaru Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai kecacatan dalam proses pendakwaan sangat mengesahkan kebimbangan saya yang telah lama saya rasakan mengenai prosiding undang-undang terhadap saya,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Pada 21 Disember lalu, Anwar dalam satu sidang media menyatakan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana dilakukan secara tergesa-gesa.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, ia adalah kerana tindakan itu didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa.
Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kebebasan badan kehakiman susulan pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan tersebut namun Anwar dalam kenyataannya tidak menyatakan secara spesifik kes-kes yang dimaksudkan.
Pada 2018, selain Najib dan Rosmah, ahli-ahli politik yang turut diheret ke mahkamah atas pelbagai tuduhan antaranya membabitkan rasuah dan tidak mengiystiharkan pendapatan kepada LHDN ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad serta Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Sehubungan itu, Najib menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melakukan kajian menyeluruh terhadap tuduhan yang dikenakan terhadapnya rentetan kenyataan Anwar itu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mencelah dan bertanyakan relevan kenyataan Anwar itu dengan kes yang dihadap oleh Najib.
Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian memaklumkan, ia penting bagi menunjukkan ketidakadilan yang terpaksa ditanggung oleh Najib.
Perbicaraan bersambung petang esok. – UTUSAN