“KALAU tidak ada yang curang, sondol-menyondol memang bukan drama Melayu lah? Asyik-asyik poligami, bosan!”
Itu mungkin yang sering kali direntankan segelintir penonton drama televisyen tempatan kita terutama golongan wanita yang mungkin sudah tepu dengan lambakan drama curang, berpoligami.
Bukan sekali dua Poklip dengar. Banyak kali, tetapi yang lebih banyaknya adalah luahan kegeraman penonton dengan drama yang tengah panas. Lelaki itu jahat, perempuan itu bodoh.
Namun, realitinya, meskipun ramai yang meluahkan rasa meluat, naskhah bertemakan curang tetap laris di pasaran. Tahun lepas boleh diibaratkan sebagai ‘kenduri’ drama curang bukan sahaja untuk produksi tempatan, malah luar negara.
Tambahan pula, kontroversi selebriti yang kerap dikaitkan dengan isu kecurangan atau rumah tangga bermasalah secara tidak langsung menaikkan lagi populariti drama sebegini. Lagi membara kan!
Kelakarnya, dalam pada ada yang cakap bosan, drama bertemakan sondol-menyondol tetap menjadi topik panas di media sosial. Tak cukup dengan perbualan santai di rumah, kegeraman terhadap si pencurang itu juga menjadi bahan perbincangan hangat.
Tidak kiralah di pejabat, kedai kopi sekalipun, mesti watak si polan dan si polan itu diperdebatkan secara serius di platform digital. Mungkin ini yang dikatakan mulut kata tak mahu, hati melonjak mahu.
Terbaharu, Curang Tanpa Niat lakonan Mira Filzah dan Shukri Yahya. Walaupun ramai yang mendakwa sudah muak dengan jalan cerita tipikal suami miang dan wanita penyondol, hakikatnya drama ini tetap trending di media sosial.
Tetapi, seperti biasa, alur cerita tetap tidak lari jauh. Kisah cinta yang bermula tanpa niat, diiringi godaan, konflik rumah tangga, dan akhirnya penyesalan.
Tak kisahlah nama watak apa, siapa pelakon atau bagaimana hubungan itu bermula, tema yang diusung tetap sama.
Tidak hairanlah jika ada penonton yang sudah mula mengaku bosan. Namun, atas alasan apa, naskhah ini tetap mendapat sambutan hangat. Adakah populariti drama sebegini mencerminkan realiti kehidupan masyarakat?
Atau sekadar strategi penggiat seni untuk menarik perhatian dengan mengusik sensitiviti moral dan emosi penonton? Benar, drama bertemakan kecurangan mudah menjentik emosi penonton. Tapi sampai bila?
Lihat sahaja bagaimana membaranya gelodak amarah warganet terhadap kejahatan Intan, kecurangan Haikal dalam Andai Tiada Dia? Betapa ‘sucinya’ Falah sehingga menjadi idaman wanita di luar sana?
Betul, ada sahaja drama Korea Selatan (yang selalu diagungkan) yang mengangkat tema kecurangan seperti Marry My Husband, My Happy Ending dan banyak lagi namun ada tetapinya.
Naskhah seperti The Glory, yang menggambarkan isu buli secara sistematik dan kesannya serta Squid Game (ambil contoh yang popular) antara bukti mereka juga tidak ketinggalan dalam mengangkat isu kemasyarakatan.
Kita juga ada beberapa drama yang boleh tahan hebat seperti Pinjaman Syurga (mengisahkan pasangan suami isteri berdepan ujian anak kurang sihat) dan X-Change namun kurang sambutan.
Poklip sebenarnya lebih teruja jika naskhah drama tempatan berani bereksperimen dengan genre baharu atau membawa isu-isu teknikal yang lebih segar. Tidak salah mencuba sesuatu yang lebih mencabar minda penonton bukan?
Jawapannya mungkin bergantung kepada selera penonton sendiri. Jika masyarakat terus menyokong naskhah yang hanya mengejar kontroversi, maka industri akan terus kekal di takuk yang sama.
Namun, jika kita memilih untuk menyokong karya yang lebih berisi, mungkin ini boleh menjadi titik perubahan buat industri drama tanah air.
Jadi, apakah anda sudah bersedia untuk beralih ke naskhah yang lebih mencabar minda, atau akan terus membiarkan ‘trend curang’ mendominasi layar kaca? Pilihan di tangan kita.