KLANG: Kerajaan tidak menolak untuk menggubal dasar untuk mengenakan kadar tol lebih tinggi kepada kenderaan berat terutama bagi yang membawa muatan berat sehingga melanggar undang-undang.
Cadangan tersebut dilontarkan sebagai langkah untuk memastikan mereka mematuhi had muatan dibenarkan serta menjamin kualiti permukaan jalan terutama di lebuh-lebuh raya di seluruh negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara matlamat pembinaan lebuh raya adalah untuk menggalakkan kenderaan berat melaluinya sebagai usaha untuk memudahkan pergerakan kitaran ekonomi.
“Tetapi, mungkin kita cari kaedah, bagaimana. Nanti mungkin ada satu dasar di masa akan datang supaya lori tidak melanggar had muatan, itu yang betul-betul boleh merosakkan jalan, kita boleh mencari mekanisme yang mana mereka akan didenda atau bayar tol lebih.
“Bagi saya, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebagai laluan alternatif terbaik bersama PLUS (Lebuhraya Utara Selatan) supaya lori berat yang mesti mengangkut barangan menggunakan lebuh raya. Jadi, tak ada masalah, katakan lori merosakkan jalan, kalau rosak kita baikilah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pembukaan Seksyen 2 WCE, hari ini.
Jelasnya, bagaimanapun ketika ini negara mempunyai peraturan dan perundangan bagi mengawal had muatan lori, namun akan bekerjasama dengan semua pihak bagi penggubalan dasar baharu. – UTUSAN