PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyelaras pelaksanaan penguatkuasaan Larangan Pemanduan ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina bermula 27 Januari ini.
MOT dalam kenyataan berkata, larangan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu akan dikuatkuasakan selamat empat hari iaitu dari sebelum perayaan pada 27 hingga 28 Januari dan selepas perayaan pada 1 hingga 2 Februari ini.
Menurutnya, ia selepas mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.
“Tujuan utama road-ban ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.
“Selain daripada itu, Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan juga akan turut dikuatkuasakan bersama-sama road-ban ini bermula 28 Januari sehingga 2 Februari ini sepanjang pelaksanaan Op Selamat Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Mengulas lanjut, MOT berkata, pihak JPJ akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Op Tahun Baru Cina (TBC) 2025 dan operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.
Jelasnya, ia bagi memastikan pematuhan terhadap perintah larangan. – UTUSAN