PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melancarkan Bengkel MyNAP Kick-Off atau Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia dalam usaha strategik menangani cabaran perubahan iklim.
Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr. Ching Thoo Kim berkata, pelan itu bertujuan menangani kerentanan dalam lima sektor utama seperti sumber air dan pesisir pantai, pertanian, infrastruktur serta biodiversiti.
Selain itu katanya, ia juga manifestasi komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Paris dan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 yang terkini.
“Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia bukan hanya sebuah dokumen dasar dan ia adalah seruan untuk bertindak.
”Inisiatif ini menekankan visi bersama kita untuk Malaysia yang berdaya tahan dan menunjukkan bagaimana perancangan strategik, kerjasama dan inovasi dapat mendorong kemajuan yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Thoo Kim turut menyeru lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar dalam inisiatif ini berikutan Malaysia mempunyai peluang untuk menetapkan adaptasi iklim sebagai keutamaan serantau yang utama selaras dengan peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Sementara, Bengkel MyNAP Kick-Off dihadiri seramai 100 orang peserta terdiri daripada wakil kementerian, kerajaan negeri, sektor swasta, badan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.
Dapatan daripada bengkel berkenanaan menjadi panduan kepada penambahbaikan Rangka Kerja Awal MyNAP bertindak sebagai peta hala tuju dalam menangani cabaran iklim negara serta memastikan penyelarasan kerjasama antara sektor dengan lebih berkesan. – UTUSAN