KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara meneruskan inisiatif bantuan kewangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menggalakkan program-program berunsur perpaduan.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia merupakan salah satu pendekatan utama dalam memperkasa perpaduan melalui kerjasama strategik.
Katanya, penambahbaikan juga dilakukan dengan pelaksanaan permohonan secara atas talian melalui Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP).
“Dengan adanya bantuan ini, kita berharap para NGO dapat terus berganding bahu dengan kementerian dalam meluaskan usaha-usaha reach out dan memperkukuhkan keberkesanan pelaksanaan program perpaduan.
“Penambahbaikan yang dibuat melalui portal ini merupakan satu manifestasi bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan agar proses permohonan dan kelulusan bantuan kewangan kepada NGO akan menjadi lebih efisien.
“Kita harap ia dapat bantu mempermudahkan urusan serta mengurangkan kekangan yang dihadapi NGO sekaligus mempercepatkan pelaksanaan program dicadangkan,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Portal BKPP, di sini hari ini.
Pada tahun ini, KPN mengetengahkan kepada penganjuran program-program berteraskan Harmoni Dalam Kepelbagaian dan pembinaan Negara Bangsa.
Penerapan dua fokus itu merupakan usaha memperkasa hubungan antara pelbagai kelompok masyarakat dan merealisasikan pembinaan identiti nasional.
Tambah Aaron, permohonan juga adalah terbuka kepada semua organisasi termasuk agensi kerajaan dan swasta.
Katanya, peruntukan juga tidak mempunyai sebarang had kerana bergantung kepada keperluan permohonan.
“Setakat ini kita tiada tetapkan sebarang peruntukan. Kalau banyak permohonan mungkin kita akan mohon lebih daripada Kementerian Kewangan.
“Kita juga buka permohonan kepada semua. Mereka hanya perlu beritahu apa yang diperlukan dan kita akan pertimbangkan,” katanya. – UTUSAN