PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa mengikut rapat perkembangan lapan pelajar Malaysia dari Universiti Al-Azhar yang terbabit dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan dari Kaherah ke Port Said, Sabtu lalu.
Kementerian itu dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, melalui Pejabat Education Malaysia Mesir (EMM), pihaknya memantau perkembangan semasa pelajar yang terlibat.
“Lima orang pelajar dilaporkan mengalami luka ringan dan dirawat di wad pesakit luar, Hospital Sayed Galal, Kaherah manakala tiga lagi ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Lima pelajar itu ialah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Selain itu, tiga lagi pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi telah dibawa ke hospital Sayed Galal untuk rawatan lanjut.
Sebarang maklumat boleh terus berhubung dengan Education Malaysia Mesir di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK), Kaherah, Mesir atau di talian +00 202 2487 3858 atau e-mel ke [email protected].
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan KPT menggalakkan pelajar mengemas kini butiran diri dan pengajian ke portal rasmi JPT.
Katanya, ia bertujuan untuk capaian maklumat data yang tepat dan cepat sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“KPT ingin menyatakan system pembangunan data yang telah disediakan melalui inisiatif pembangunan sistem MyData@EducationMalaysia4U. Pelajar amat digalakkan untuk mengemas kini butiran diri dan pengajian pelajar ke dalam portal rasmi,” katanya. – UTUSAN