KOTA KINABALU: Isu kekurangan guru, pengambilan anak-anak tempatan sebagai tenaga kerja utama dan memasukkan citra Sabah dalam sistem pendidikan antara perkara yang diberi pertimbangkan dalam menjayakan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, itu antara persetujuan yang dicapai antara kementeriannya dan Jabatan Pendidikan Negeri dalam usaha membangunkan sektor pendidikan di Sabah.
Beliau berkata, persetujuan yang dicapai itu antara perubahan penting yang akan membantu mengukuhkan soal interaksi pendidikan di negeri ini.
“Begitu juga soal infrastruktur dan juga bagaimana peruntukan bencana alam boleh kita sifatkan sebagai antara perkara penting yang telah dicapai dalam persetujuan mengenai MA63.
“Saya harap dengan komitmen padu begini khususnya di peringkat Persekutuan dan juga negeri akan dapat mengangkat kualiti pendidikan di negeri Sabah,” katanya semasa majlis perhimpunan kepimpinan pendidikan negeri Sabah di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok, hari ini.
Menurut beliau, antara perkara yang telah dilaksanakan adalah membenarkan peruntukan diberikan kepada pengarah pendidikan negeri.
Di samping itu, pengarah negeri turut diberi keutamaan untuk menerajui pendidikan berdasarkan keupayaan dan kearifan di peringkat tempatan termasuklah usaha memasukkan citra Sabah dalam sistem pendidikan.
Kata beliau, usaha sebegitu akan memberi semangat kepada warga pendidik dan juga anak-anak di negeri ini untuk terus bekerja keras dalam memastikan isu-isu pendidikan di Sabah dapat diatasi berdasarkan kearifan dalam konteks lokal. – UTUSAN