PETALING JAYA: Penganjur konsert Pinkfish, sedia memberi kerjasama kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan selain mendakwa insiden tersebut berlaku selepas konsert tamat.
Menurut pihak pengurusan konsert ambang tahun baharu tersebut, sebagai penganjur, mereka amat mementingkan keselamatan pengunjung sepanjang acara berlangsung dengan mengupah anggota keselamatan.
“Sebagai penganjur acara, kami memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut dan mengambil maklum kenyataan pengesahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa kematian tersebut berlaku di luar premis acara.
“Sementara menunggu hasil siasatan menyeluruh berkaitan kes ini, kami menegaskan bahawa setiap langkah berjaga-jaga telah diambil untuk memastikan keselamatan dan kelancaran acara termasuk Pinkfish Countdown 2024.
“Langkah-langkah tersebut termasuklah penglibatan lebih daripada 100 pegawai polis dan penempatan anggota keselamatan terlatih dan unit K9 di semua pintu masuk,” tulis mereka menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Selain turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, penganjur turut bekerjasama dengan agensi terlibat demi memberi bantuan sokongan kepada mereka yang terkesan dengan insiden tersebut.
“Takziah sekali lagi kami ucapkan kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi itu,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan polis sedang menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian masih menunggu siasatan makmal.
Katanya, pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau unsur keracunan. -UTUSAN