MELAKA: Inisiatif kemasukan percuma ke beberapa lokasi pelancongan terkemuka di Melaka pada tanggal 20 Februari bersempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diteruskan tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setakat ini senarai tempat terlibat masih sama seperti tahun lalu antaranya seperti Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari, Zoo Melaka dan muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Ujarnya, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa segala kelemahan yang terjadi sebelum ini seperti kesesakan akan diperbaiki berdasarkan kajian yang sedang dilaksanakan.
“Maka, kita menjemput bukan sahaja rakyat Melaka tetapi juga pelancong dan pengunjung dari luar negeri ini untuk datang dan menikmati tawaran istimewa yang diberikan. Kita sedia maklum terdapat beberapa masalah seperti kesesakan dan sebagainya pada tahun lalu, jadi kita akan membuat penambahbaikan berdasarkan kajian yang sedang dibuat.
“Mekanisme untuk tiket kemasukan percuma ini akan kita umum dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Pada 20 Februari 2024, kerajaan negeri menawarkan kemasukan percuma di 10 lokasi pelancongan popular sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Lokasi-lokasi berkenaan adalah MRC, Menara Taming Sari, Muzium di bawah Perzim, Zoo Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi.
Turut ditawarkan kemasukan percuma adalah Melaka Wonderland & Themepark, Taman Laut Melaka, kelab-kelab golf Melaka, Muzium Penjara Malaysia dan Malaysia Heritage Studios.
Dalam pada itu, Ab. Rauf mengumumkan bahawa Melaka berjaya mengurangkan jumlah baki pokok hutang awam dengan Kerajaan Persekutuan daripada RM636.34 juta pada 2022 kepada RM631.95 juta pada 2023 dan seterusnya RM625.49 juta pada tahun lalu.
Ujarnya, kerajaan negeri juga berjaya menambah kutipan hasil negeri kepada 489.79 juta pada 2024, sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi iaitu melebihi 100 peratus sasaran ditetapkan.
“Ia meletakkan Melaka di kedudukan ketiga peningkatan unjuran prestasi hasil pendapatan negeri-negeri,” katanya. – UTUSAN