SUNGAI PETANI: Keluarga tiga nelayan yang dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke pangkalan selepas melakukan aktiviti merawai berdekatan Pulau Payar, sejak Khamis lalu yakin kesemua mereka masih hidup dan akan dijumpai tidak lama lagi.
Halimah Saari, 58, yang merupakan ibu kepada Asrol Hisham Zainol, 47, serta nenek kepada Shahril Aiman Asrol Hisham, 17, berkata, nalurinya kuat berkata demikian kerana anak kedua daripada enam beradik itu berpengalaman setelah lama menjadi nelayan.
“Saya rasa enjin bot mereka mengalami masalah teknikal dan mungkin hanyut bukannya karam. Insya-Allah mereka akan ditemui selamat selepas pelbagai agensi melakukan usaha mencari sejak dilaporkan hilang empat hari lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu Lintang, Tikam Batu di sini hari ini.
Menurut Halimah, ketika kejadian anak dan cucunya itu turun ke laut bersama seorang kenalan dikenali Amin yang berusia 30-an dan tinggal di Taman Semarak untuk merawai ikan tenggiri di kawasan Pulau Payar.
“Anak saya tinggal bersama saya selepas bercerai dengan isterinya pada 2015 manakala cucu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Abdul Kadir Kepala Batas tinggal dengan abangnya, Shahrul Iskandar, 19, di rumah ibu mereka di Taman Rhu, Tikam Batu.
“Shahril Aiman hanya akan mengikuti bapanya ke laut semasa cuti persekolahan sahaja dengan menggunakan bot kepunyaan seorang lagi anak saya,” katanya.
Menurut Halimah, sebelum mereka turun ke laut pada pukul 12 tengah hari Khamis lalu, dia sempat berpesan agar berhati-hati selepas mendapat maklumat keadaan laut khususnya di kawasan perairan Pulau Payar yang bergelora.
“Biasanya anak akan pulang merawai tiga atau empat jam kemudian namun tiada sehingga keesokan harinya. Kami juga cuba hubungi telefon mereka namun gagal membuat saya cemas dan kerana bimbangkan keselamatan mereka saya suruh anak laporkan kehilangan mereka pada Jumaat lalu,” katanya.
Sementara itu bekas isteri Asrol Hisham, Noriyati Ridzuan, 46, yang ditemui berkata, dia mula bimbang selepas gagal menghubungi Shahril Aiman pada petang kejadian.
“Biasanya kami selalu berhubung semasa dia dan bapanya merawai ikan di kawasan itu atau semasa pulang dari laut sejak dia berminat membantu bapanya sebagai nelayan pada hujung Disember 2023 lalu. Rasa hilang nyawa apabila polis yang memaklumkan kejadian anak saya hilang di laut,” katanya.
Katanya, dia juga bimbang kerana anaknya itu menghidap penyakit lelah dan tidak tahan dengan cuaca sejuk melampau dalam tempoh lama.
Semalam akhbar melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang apabila tidak pulang selepas melakukan aktiviti merawai dekat Pulau Payar sejak Khamis lalu.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada anggota polis mengenai kehilangan mangsa yang dibuat ahli keluarga. – UTUSAN