Keluarga tuntut siasatan telus kematian banduan tahanan - Utusan Malaysia

Keluarga tuntut siasatan telus kematian banduan tahanan

P. RAMASAMY (kanan) bersama ahli keluarga dan waris banduan tahanan yang mengadakan perhimpunan di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Keluarga kepada banduan tahanan di Penjara Taiping menuntut siasatan telus dijalankan berhubung kes kematian seorang banduan di Penjara Taiping pada minggu lalu.

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, keluarga banduan tahanan mendakwa berlakunya kekasaran oleh sekumpulan warden, dua minggu lalu.

Menurutnya, insiden itu hingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia disebabkan kecederaan perut akibat trauma tumpul, 17 Januari lalu.

“Perkara ini terbongkar apabila seorang tahanan yang dibawa ke mahkamah memaklumkan kepada hakim bahawa rakan-rakannya cedera didera sekali gus menjawab persoalan kenapa waris ini tidak dibenarkan bertemu dengan ahli keluarga mereka.

“Alasan yang diberikan pihak penjara adalah kesemua mereka kononnya dikuarantin selepas dipindahkan dari Penjara Batu Gajah pada 16 Januari lalu.

“Sehingga kini, waris tidak dibenarkan bertemu dengan tahanan dengan alasan mereka sedang dikuarantin.

“Yang paling penting sekarang adalah supaya banduan yang terlibat diberi rawatan di hospital kerajaan dan ahli keluarga dibenarkan melihat tahap kecederaan mereka.

“Kami minta satu siasatan dilakukan terhadap warden-warden penjara ini dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, anak kepada banduan tahanan yang meninggal dunia berkata, keluarganya menuntut keadilan atas kematian bapanya.

Dia yang enggan dikenali berkata pada mulanya keluarga dimaklumkan bahawa kematian bapanya disebabkan oleh masalah jantung, namun selepas bedah siasat, punca sebenar adalah kecederaan dalaman hingga menyebabkan kematian.

“Kali terakhir kami bertemu dengan ayah sekitar tiga hingga empat bulan lalu. Dia mempunyai rekod perubatan menghidap penyakit jantung dan kencing manis,” katanya.

Terdahulu Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, seramai 80 banduan dan dua orang pegawai penjara telah diambil keterangan oleh pihak polis berhubung kes kematian seorang banduan di Penjara Taiping pada minggu lalu.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan akan diangkat ke peringkat Bukit Aman.

Beliau juga mengesahkan kes tersebut melibatkan kematian seorang banduan dan punca kejadian itu masih disiasat sejak laporan diterima pada 17 Januari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya