ALOR SETAR: Keluarga Siti Rohani Saad, 37, reda sekiranya mayat yang ditemukan di Sungai Kedah berdekatan Alor Mengkudu, di sini semalam disahkan wanita itu yang hilang pada November tahun lepas.
Abangnya, Mohd. Nazir, 45, berkata, walaupun bersedih dengan perkembangan terkini itu, namun mereka berusaha menerima andai itu ketentuan Allah SWT.
“Kami semua akan terima apa juga keputusan nanti kerana selain pengecaman, ujian DNA (asid deoksiribonukleik) akan dibuat untuk mengesahkan mayat itu adalah Siti Rohani berdasarkan keadaannya yang tidak sempurna ketika ditemui.
“Sudah lebih dua bulan Siti Rohani hilang dan kami tidak berhenti berdoa agar dia akan kembali namun jika ini kesudahannya kami semua reda,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan kehilangan Siti Rohani selepas motosikal miliknya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, pada 8 November lepas. Wanita itu dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai dekat sini pada pagi hari kejadian.
Mohd. Nazir berkata, mereka menerima panggilan berhubung penemuan mayat seorang wanita itu pada pukul 5 petang semalam.
“Salah seorang daripada anak saudara saya pergi ke lokasi untuk membuat pengecaman mayat namun keadaannya tidak sempurna. Perasaan saya memang berdebar-debar tetapi reda sahaja,” katanya.
Dalam pada itu menurut kakaknya, Naziroh, 51, setelah lebih dua bulan menanti perkhabaran yang menggembirakan mereka sekeluarga semakin reda dengan apa juga pengakhiran peristiwa kehilangan adik bongsu itu.
“Sebelum ini memang sentiasa berharap agar Siti Rohani pulang tetapi pada masa sama kami semakin reda dengan apa juga berlaku. Kami tidak pernah melupakan Siti Rohani dan sering mengadakan solat hajat agar dia kembali.
“Kami berharap semua urusan berjalan lancar kalau benar itu Siti Rohani berdasarkan ujian DNA nanti, kami mahu sempurnakan pengebumiannya di kampung di Kuala Lanjut,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada penemuan mayat itu ada hubung kait dengan kejadian wanita yang masih lagi dilaporkan hilang sejak dua bulan lalu.
Katanya, mayat itu ditemukan dalam keadaan mereput dan masih lagi lengkap berpakaian. Pemeriksaan turut menemui sebuah telefon bimbit di dalam poket seluar yang dipakai. – UTUSAN