PETALING JAYA: Seorang pelajar warganegara Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di National Institute of Technology (Kosen) Kure, Hiroshima, Jepun dilaporkan hilang sejak 27 Januari lalu.
Difahamkan, pelajar berusia 21 tahun tersebut yang dikenali sebagai Hannani dipercayai meninggalkan kampus dengan berpakaian uniform pada Isnin namun belum pulang hingga kini.
Berdasarkan maklumat tular di laman sosial, ibunya memohon agar orang ramai membantu mencari anaknya yang tidak dapat dihubungi.
Jelasnya, pihak kedutaan serta imigresen Jepun sudah dimaklumkan berkenaan kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, pihak kampus juga mengesahkan telah cuba menghubungi Hannani melalui aplikasi LINE, Messenger serta WhatsApp namun tidak berbalas.
Jelas pihak kampus, bilik pelajar tersebut juga telah diperiksa.
“Kami mengesahkan (Hannani) membawa passport dan dompet bersamanya. Buat masa sekarang, kami sedang cuba mendapatkan maklumat daripada pelajar Malaysia yang lain,” katanya.
Sebarang maklumat berkenaan keberadaan Hannani boleh disalurkan kepada Pegawai Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan, PPL Tokyo, Encik Imran Yusof di talian +81 80-7561-8080 atau Puan Yang Munirah di talian +60 12-688 8364. – UTUSAN