Kelindan lori ditahan bersama 19.2kg dadah - Utusan Malaysia

Kelindan lori ditahan bersama 19.2kg dadah

ZULKAFLI Sariaat (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan kelmarin pada sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang kelindan lori yang memiliki 13 rekod jenayah lampau diberkas bersama 19.2 kilogram (kg) dadah jenis heroin dalam serbuan di tempat letak kereta di Meru, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Kontinjen Perak pada pukul 11.20 pagi.

Katanya, tangkapan dibuat ketika suspek sedang membawa keluar dadah itu dari kerusi penumpang belakang kereta Perodua Bezza dan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

“Hasil pemeriksaan menemui 44 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 19,246 gram. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM220,000.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai aktif dalam pengedaran dadah sejak Oktober tahun lalu dan dadah yang dirampas itu disyaki diedarkan untuk pasaran di negeri ini.

Kayanya, dianggarkan jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 40,000 penagih dadah.

“Suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga Isnin ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 259.6kg pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM9.7 juta dirampas sepanjang tahun lalu dengan membabitkan seramai 20,458 tangkapan.

Katanya, bagi tempoh sama, seramai 2,589 orang ditahan atas kesalahan membekalkan dadah, 6,580 orang kerana memiliki dan 11,176 orang lagi positif dadah selain 113 orang pula ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

“Sepanjang tempoh itu, polis turut merampas 149.3kg syabu, 1.7kg ketamin, 1.5kg pil ekstasi, 675.26 gram pil yaba, 2.4kg pil erimin 5, 11kg ganja, 92kg heroin dan 32.12 liter kafein. Nilai sitaan harta keseluruhan berjumlah RM7.9 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya