IPOH: Seorang kelindan lori yang ditahan polis minggu lalu dipercayai ketika sedang menunggu ‘pelanggan’, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.
Tertuduh, Mohd. Saffuan Nor Rahim, 43, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 19,246 gram di kawasan tempat letak kereta di Persiaran Meru Point, Taman Seri Meru, Ipoh pada pukul 11.20 pagi, 21 Januari 2025.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Tertuduh mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd. Saffuan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes.
Menerusi laporan media pada 23 Januari lalu, seorang kelindan lori yang memiliki 13 rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan jenayah ditangkap ketika sedang mengangkat bungkusan dadah seberat 19.2kg dari dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Tangkapan pada pukul 11.20 pagi itu dijalankan ketika suspek dipercayai sedang menunggu pembeli dan kesemua dadah yang dirampas bernilai RM220,000. – UTUSAN