ALOR SETAR: Kelemahan dalam pengawasan dan pelabelan halal boleh menghakis keyakinan pengguna sekali gus menjejaskan reputasi dan salah faham terhadap Bahagian Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, persoalan halal amat sensitif dalam kalangan masyarakat Islam negara ini kerana ia bukan soal keagamaan sahaja, tetapi berkait rapat dengan hak pengguna dan kepercayaan mereka terhadap sistem pelabelan makanan.
“Secara tidak langsung ia mencalarkan imej negara sebagai hab industri halal. Tambahan pula, isu pelabelan halal ini bukan sahaja berkisar tentang keperluan agama bagi umat Islam, tetapi berkait rapat dengan integriti dan kredibiliti industri halal Malaysia di peringkat global.
“Malaysia, sebagai negara peneraju dalam industri halal perlu memastikan setiap aspek pelabelan dan pengesahan halal dipatuhi dengan ketat.
“Sebarang kelemahan dalam pengawasan bukan sahaja boleh mencalarkan reputasi negara, tetapi menimbulkan persoalan di peringkat antarabangsa mengenai kemampuan kita untuk mengekalkan standard halal yang tinggi,” katanya.
Mohd. Farhan berkata, kesan daripada isu seperti itu juga tidak terhad kepada pengguna domestik, tetapi berpotensi mengurangkan keyakinan pelabur dan pengguna antarabangsa terhadap produk Malaysia.
Justeru katanya, tindakan serius diperlukan termasuk penguatkuasaan undang-undang, pemantauan berterusan dan program kesedaran untuk peniaga dan pengguna bagi memastikan Malaysia terus menjadi peneraju global dalam industri halal.
“Perkara kedua tentang kritikan Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong yang menyifatkan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh sebagai mencetuskan perpecahan tidak membantu menyelesaikan masalah.
“Beliau tidak boleh menegakkan benang yang basah dan harus menerima kenyataan bahawa isu halal dan pelabelan makanan adalah perkara serius yang memerlukan perhatian semua pihak termasuk DAPSY,” katanya.
Tambahnya, kegagalan untuk mengiktiraf sensitiviti masyarakat hanya memperkuat persepsi bahawa pandangan Kah Leong lebih berpaksikan kepada politik berbanding kepentingan rakyat.
“Sebagai pemimpin muda, beliau seharusnya mengambil pendekatan lebih bijaksana dengan menyeru siasatan menyeluruh terhadap dakwaan ini dan menyokong pengukuhan sistem pengesahan halal di Malaysia,” katanya.