KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan tidak mewajibkan Sijil Perakuan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat memperbaharui lesen kepada peniaga kecil yang berniaga di tepi jalan atau di rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, syarat tersebut hanya terpakai kepada tujuh kategori premis makanan yang kebanyakannya jenama terkenal dengan nilai jualan mencecah jutaan ringgit serta mempunyai premis di pasar raya dan lapangan terbang sahaja.
“Isu ini timbul apabila kenyataan sebenar diputar belit sehingga menampakkan seolah-olah semua peniaga di Kelantan termasuk pengusaha air batu dan peniaga kecil di tepi jalan wajib memiliki SPHM.
“Hakikatnya ia hanya melibatkan tujuh kategori premis makanan seperti dijelaskan sebelum ini yang kebanyakannya sudah memiliki SPHM,” katanya selepas Majlis Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan Tahun 2025 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen, Lee Chean Chung meminta kerajaan memperhalusi kembali keputusan berkenaan kerana dilihat sebagai langkah tergesa-gesa serta dibimbangi membawa implikasi negatif terhadap peniaga kecil.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud menafikan syarat tersebut sebagai langkah tergesa-gesa kerana semua peniaga makanan telah menjalani kursus dan taklimat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sebelum ia diputuskan.
“Sebenarnya Majlis Pembangunan Halal Negara sendiri mahu pensijilan halal diselaraskan di semua negeri, malah mereka minta setiap negeri menubuhkan Majlis Pembangunan Halal dalam merealisasikan dan memartabatkan industri halal. Insya Allah Kelantan juga akan menubuhkannya.
“Malah Sarawak mengatakan pensijilan halal sepatutnya diwajibkan di Kelantan kerana 96 peratus penduduknya beragama Islam. Jadi sebenarnya tidak ada sebarang isu mengenai langkah mewajibkan peniaga memiliki SPHM,” ujarnya. – UTUSAN