ALOR SETAR: Suatu ketika dulu, Nur Atikah Yusri, 27, cukup cergas dalam melaksanakan tugasan harian. Malah dek kerana kelincahannya, dia diterima bekerja sebagai pencipta kandungan di sebuah syarikat pada Oktober tahun lalu, sekali gus menambah pendapatan keluarga.
Namun langit tidak selamanya cerah buat ibu kepada dua anak itu. Hanya selepas dua bulan bekerja, kakinya sering merasa kebas dan lemah hingga akhirnya dia tidak lagi boleh berjalan bermula 25 November lalu.
Menurut Nur Atikah, pemeriksaan doktor menemukan kelenjar di lehernya dengan dia kemudiannya disahkan menghidap kanser limfoma yang memerlukan pemerhatian lanjut.
“Saya tak sangka rasa kebas di kaki hingga menyebabkan saya tidak berjalan ini sebenarnya berpunca dari kanser. Sejak itu, saya tidak lagi boleh bekerja dan hanya mampu duduk atau berbaring di katil.
“Segala urusan perlu dibantu suami, Mohd. Ammar Abdul Wahab, 30, dan ibu, Rosliza Mutalib yang tinggal serumah dengan kami. Doktor maklumkan, saya perlu menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan,” katanya ketika dikunjungi Cancer Survivors Malaysia (CSM) di rumahnya di Lorong Seri Kota.
Nur Atikah mengakui, ketika ini dia diuji dengan kesempitan kewangan memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dengan
pendapatan harian.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB bernombor 7614128685 atau menghubungi 014-5638458.-UTUSAN.