ALOR SETAR: Suatu ketika dulu, Nur Atikah Yusri, 27, cukup cergas dalam melaksanakan tugasan harian. Malah dek kerana kelincahannya, dia diterima bekerja sebagai pencipta kandungan di sebuah syarikat pada Oktober tahun lalu, sekali gus menambah pendapatan keluarga.
Namun langit tidak selamanya cerah buat ibu kepada dua anak itu. Hanya selepas dua bulan bekerja, kakinya sering merasa kebas dan lemah hingga akhirnya dia tidak lagi boleh berjalan bermula 25 November lalu.
Menurut Nur Atikah, pemeriksaan doktor menemukan kelenjar di lehernya dengan dia kemudiannya disahkan menghidap kanser limfoma yang memerlukan pemerhatian lanjut.
“Saya tak sangka rasa kebas di kaki hingga menyebabkan saya tidak berjalan ini sebenarnya berpunca dari kanser. Sejak itu, saya tidak lagi boleh bekerja dan hanya mampu duduk atau berbaring di katil.
“Segala urusan perlu dibantu suami, Mohd. Ammar Abdul Wahab, 30, dan ibu, Rosliza Mutalib yang tinggal serumah dengan kami. Doktor maklumkan, saya perlu menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan,” katanya ketika dikunjungi Cancer Survivors Malaysia (CSM) di rumahnya di Lorong Seri Kota.
Nur Atikah mengakui, ketika ini dia diuji dengan kesempitan kewangan memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dengan pendapatan harian.
“Pendapatannya cuma RM40 sehari dan ada kalanya dia tidak dapat bekerja jika perlu bawa saya ke hospital. Selain itu, perbelanjaan kami banyak ditampung oleh pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM700 sebulan diterima ibu setelah ayah meninggal dunia pada 2015 akibat kemalangan jalan raya.
“Rawatan penyakit ini sering memerlukan saya berada di wad untuk tempoh lama dan dalam tempoh itu, banyak belanja terpaksa dikeluarkan antaranya untuk lampin pakai buang. Saya juga disarankan mengambil susu khas namun tidak berbuat demikian kerana harganya mahal,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, pihaknya hadir bagi memberi semangat kepada Nur Atikah untuk terus mendapatkan rawatan dan tidak mudah mengalah dengan penyakit dihadapi walaupun berdepan masalah kewangan.
Dalam kunjungan itu, CSM turut menyerahkan sumbangan berupa wang tunai, barangan dapur serta sebuah kerusi roda untuk kegunaan Nur Atikah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB bernombor 7614128685 atau menghubungi Nur Atikah di talian 014-5638458. – UTUSAN