TUMPAT: Kedutaan China di Malaysia menghulurkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membantu 300 penduduk yang terjejas banjir di Kampung Pulau Gorek, di sini.
Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, bantuan tersebut membuktikan keprihatinan pihaknya kepada penduduk di negara ini.
“Kita mengikuti perkembangan (banjir) itu secara aktif untuk mencari jalan bagi membantu penduduk yang terjejas.
“Bagi melancarkan agihan, kami bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan (PKMC) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu seorang penerima Mohd Shafikah Shaari, 28, tidak menyangka Duta Besar China sanggup datang ke kampungnya untuk mengagihkan bantuan banjir.
Katanya, bantuan barang keperluan seperti beras, biskut, minyak masak dan air mineral sangat bermakna buat keluarganya.
“Sangat bernilai bantuan ini buat kami yang ditimpa musibah banjir, bagi yang bekerja hari sudah lama tiada pendapatan kerana banjir.
“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan saya yang perlu menjaga ibu dan adik-adik,” katanya. – UTUSAN