ALOR SETAR: Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan sumbangan RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR), keluarga yang terlibat dengan banjir pada November lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian itu akan diberikan kepada semua keluarga terlibat termasuk mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, sumbangan itu dijangka melibatkan implikasi kewangan bernilai RM3.5 juta di pihak kerajaan negeri.
“Ketika ini jumlah mangsa banjir itu masih di peringkat bancian namun pagi ini, saya nak maklumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menyumbangkan RM500 kepada ketua isi rumah terlibat banjir sama ada yang berpindah atau pun tidak.
“Jumlah mereka yang terlibat akan disahkan oleh pegawai daerah masing-masing. Kalau kita dapat angka penuh mereka yang terjejas pada minggu ini, minggu depan sumbangan tersebut sudah mula boleh dibayar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri di Wisma Darul Aman di sini semalam.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhammad Sanusi menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terlibat.
Katanya, sumbangan tersebut akan dipastikan untuk diberi kepada ketua isi rumah sebelum sekolah dibuka semula selepas waktu cuti yang akan bermula, tidak lama lagi.
Sementara itu Muhammad Sanusi turut mengingatkan semua agensi berkaitan agar mengambil langkah bersiap sedia berikutan laporan dikeluarkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (Nahrim) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), yang menjangkakan kemarau berpanjangan bermula tahun ini dan mungkin berlarutan hingga 2035.
“Kita juga mungkin akan memulakan langkah untuk memastikan sumber air di Kedah, digunakan untuk negeri ini terlebih dulu,” katanya.