Kedah beri sumbangan RM500 kepada mangsa banjir November lalu

Kedah beri sumbangan RM500 kepada mangsa banjir November lalu

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan sumbangan berjumlah RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR), keluarga yang terlibat dengan banjir pada November lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian itu akan diberikan kepada semua keluarga terlibat termasuk mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, sumbangan itu dijangka melibatkan implikasi kewangan bernilai RM3.5 juta di pihak kerajaan negeri.

“Ketika ini jumlah mangsa banjir itu masih di peringkat bancian namun pagi ini, saya nak maklumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menyumbangkan RM500 kepada ketua isi rumah terlibat banjir sama ada yang berpindah atau pun tidak.

“Jumlah mereka yang terlibat akan disahkan oleh pegawai daerah masing-masing. Kalau kita dapat angka penuh mereka yang terjejas pada minggu ini, minggu depan sumbangan tersebut sudah mula boleh dibayar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhammad Sanusi menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terlibat.

Katanya, sumbangan tersebut akan dipastikan untuk diberi kepada ketua isi rumah sebelum sekolah dibuka semula selepas waktu cuti yang akan bermula, tidak lama lagi.

“Dalam kejadian banjir kali ini, ada yang antara mangsa yang tidak berpindah disebabkan beberapa faktor antaranya kesihatan selain mereka masih boleh tinggal di bahagian atas rumah. Ada juga yang tidak berpindah kerana pusat pemindahan sementara (PPS) telah penuh atau terlalu padat dan kita mengambil inisiatif untuk menghantar bekalan makanan macam biasa.  

“Atas faktor itu, kita jangkakan jumlah mangsa banjir sebenarnya jauh lebih ramai daripada fasa pertama bencana itu yang berlaku September lalu. Ketika ini bancian masih dibuat dan kita akan serahkan sumbangan itu dalam bulan ini juga,” katanya.

Sementara itu Muhammad Sanusi turut mengingatkan semua agensi berkaitan agar mengambil langkah bersiap sedia berikutan laporan dikeluarkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (Nahrim) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), yang menjangkakan kemarau berpanjangan bermula tahun ini dan mungkin berlarutan hingga 2035.  

“Kita juga mungkin akan memulakan langkah untuk memastikan sumber air di Kedah, digunakan untuk negeri ini terlebih dulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya