PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan migran dikesan menggunakan kawasan kebun sawit dan paya berhampiran pantai sebagai laluan utama pendatang asing tanpa izin (PATI) ke bot untuk membawa mereka ke destinasi dituju.
Taktik ini dikenal pasti dalam satu operasi khas yang dilancarkan Bahagian D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, awal pagi tadi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 (ATIPSOM), Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi yang dijalankan sekitar kawasan perairan pantai Kuala Selangor pada pukul 5.30 pagi itu berjaya menumpaskan aktiviti sindiket tersebut dan membawa kepada tangkapan seramai 22 warga Indonesia termasuk 16 lelaki dan enam wanita.
Menurutnya, kawasan kebun sawit dan paya yang terpencil memberikan perlindungan kepada sindiket untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Modus operandi mereka adalah menggunakan lokasi-lokasi yang sukar diakses seperti kebun sawit dan paya berhampiran pantai untuk menyembunyikan pergerakan migran sebelum membawa mereka ke bot utama.
“Bot itu kemudian digunakan untuk menyeludup mereka sama ada keluar atau masuk dari Malaysia melalui laluan laut yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran antara RM1,800 hingga RM3,000 kepada setiap migran untuk keluar atau masuk ke Malaysia.
“Dalam operasi itu, seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 26 tahun ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Empat lelaki Indonesia berusia 24 hingga 28 tahun turut diberkas di bawah Seksyen 26J akta sama, termasuk tiga individu yang bertindak sebagai pembawa (transporter) dan seorang pembantu pembawa,” katanya.
Selain itu Soffian menjelaskan, tujuh individu, terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita berumur antara 22 hingga 46 tahun ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini secara haram.
“Polis turut menahan sepuluh lagi warganegara Indonesia iaitu lapan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 49 tahun, di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama kerana tinggal lebih masa di negara ini.
“Kesemua tangkapan kini ditahan di IPD Kuala Selangor untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan Seksyen 26A dan 26J Akta ATIPSOM 2007 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN