KULIM: Permohonan empat pemain warisan baharu yang bakal memperkuatkan skuad Harimau Malaya sedang diteliti Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum jawapannya diberikan kelak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu boleh diberikan seawal sebulan atau paling lama 12 bulan setelah kesemua proses berkaitan diselesaikan.
“Pertama saya akan semak sama ada nama-nama mereka dalam kategori ada pertalian darah atau tidak. Maknanya ada tak waris mereka sama ada mak atau datuk yang merupakan rakyat Malaysia di bawah Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan.
“Tapi kalau kita semak tak ada langsung (pertalian darah), saya akan proses mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar Program Sua Mesra KDN di Karangan, hari ini.
Terdahulu, skuad Harimau Malaya semakin hampir menerima empat pemain warisan baharu sekali gus memberi perkhabaran gembira buat kem negara menjelang pusingan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 bermula, Mac ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan proses mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi empat pemain warisan baharu itu kini sedang menunggu kelulusan muktamad daripada Kerajaan Malaysia.
Kata Saifuddin, Perkara 15 dan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan merupakan jalur yang membolehkan mereka mendapat kewarganegaraan untuk membolehkan mereka mewakili Malaysia jika dipilih oleh jurulatih.
“Proses itu kalau mengikut prosedur operasi standard (SOP) sekarang setelah diteliti semua semakan undang-undang boleh berlaku sepantas satu bulan ataupun tidak melampaui 12 bulan.
“Kita akan ada pra kelayakan Piala Dunia akan datang di Amerika Syarikat dan berikutnya di Arab Saudi, maka kalau Malaysia layak masuk Piala Dunia sempat saya ingat,” katanya. – UTUSAN