KDN kenakan Perintah Larangan enam judul buku, mudarat moral masyarakat

KDN kenakan Perintah Larangan enam judul buku, mudarat moral masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengenakan perintah larangan ke atas enam judul penerbitan buku yang dikhuatiri memudaratkan kemoralan masyarakat Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, Perintah Larangan itu diwartakan melalui Warta Kerajaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] berkuat kuasa pada 19 Disember 2024.

Enam judul buku itu ialah A Million Kisses In Your Lifetime oleh Monica Murphy; Lose You To Find Me oleh Erik J. Brown; Punai oleh Asyraf Bakti.

Selain itu ialah Scattered Showers oleh Rainbow Rowell; When Everything Feels Like The Movie oleh Raziel Reid dan What If It’s Us oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra.

“Perintah Larangan di bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

“Ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang bertentangan dengan budaya serta nilai- nilai murni masyarakat Malaysia yang majmuk.

“Dalam masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” katanya.

Menurut KDN, tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301.

Ia menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan yang mungkin memudaratkan kemoralan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301 pula memperuntukkan mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu boleh disabitkan, iaitu dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan.

“Ia selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 juga boleh dirujuk pada laman sesawang KDN https://epq.kdn.gov.my/e-pq/index.php?mod=public atau Perundangan Persekutuan https://lom.agc.gov.my/index.php?language=BM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya