PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menumpaskan sindiket penyeludupan dan pembekalan minuman keras serta produk minuman bertenaga kira-kira 34,892 liter yang dianggarkan bernilai RM1.67 juta dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor baru-baru ini.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 (WPKL) di kawasan Perindustrian Balakong, Seri Kembangan dan Pelabuhan Klang.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Norlela Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi, 9 Januari lalu di sebuah gudang di kawasan Perindustrian Balakong dekat sini.
Katanya, operasi dijalankan berdasarkan risikan berkaitan aktiviti pembekalan minuman keras import berbagai jenis yang disyaki tidak berkastam membabitkan sebanyak 2,488 liter dengan nilai rampasan kira-kira RM157,716.
“Rampasan membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan bernilai RM241,000.
“Dalam serbuan itu, kami turut menahan tiga warga China dan seorang Myanmar berusia 30 hingga 45 tahun dipercayai pekerja gudang terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Zon Tengah Kuala Lumpur, Kelana Jaya di sini hari ini.
Menurutnya, serbuan itu membawa kepada satu lagi operasi di sebuah lagi gudang persendirian di Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan dekat sini pada 1.30 petang, hari yang sama.
Jelasnya, pemeriksaan turut menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenis dan jenama dengan sebanyak 7,804 liter, dianggarkan berjumlah RM310,680 dan duti terlibat membabitkan RM717,450.
“Siasatan mendapati sindiket menggunakan gudang tersebut untuk menyimpan bekalan minuman keras sebelum diedar ke pasaran tempatan bagi rakyat China di negara ini.
“Gudang itu dipercayai disewa sejak Disember lalu dengan kadar RM6,500 sebulan dan kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Norlela berkata, serbuan ketiga dijalankan pada pukul 11.45 pagi, 9 Januari lalu yang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan produk minuman bertenaga dari India di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dekat sini.
Katanya, modus operandi sindiket dengan membuat pengikraran tidak benar membabitkan minuman bertenaga tidak bergula namun mengandungi gula bagi mengelak duti eksais.
Jelas beliau, minuman tenaga bergula diklasifikasikan sebagai barang bercukai di bawah Perintah Duti Kastam 2022 dan Perintah Duti Eksais 2024 di mana kadar duti import adalah sebanyak lima peratus manakala cukai jualan sebanyak 10 peratus dan duti eksais adalah RM0.90 sen per liter.
“Kami berjaya menahan sebuah kontena bersaiz 40 kaki dan pemeriksaan turut menemukan sejumlah produk cecair yang disyaki minuman bertenaga yang mengandungi gula sebanyak 24,600 liter dianggarkan RM172,200 manakala cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM79,458 ” katanya. – UTUSAN