KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 35 buah kenderaan yang diseludup dari Thailand sejak Januari hingga November lalu membabitkan nilai RM7.79 juta termasuk cukai.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan berkenaan dilakukan menerusi beberapa siri operasi bagi mengesan kenderaan yang diseludup dari negara jiran.
Katanya, semua kenderaan itu didapati tidak mematuhi prosedur pengimportan kerana tiada permit import dan tidak dapat mengemukakan dokumen pengimportan.
“Modus operandi yang digunakan adalah kenderaan berkenaan dijual di pasaran tempatan menggunakan nombor pendaftaran model kenderaan sama yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya hari ini.
Sementara itu, Wan Jamal Abdul Salam berkata, pihaknya merampas 150,000 batang rokok seludup bernilai RM129,000 termasuk cukai dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam di Pulau Tengkorak, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 20 Disember lalu. – UTUSAN