Kartel baja: Bekas pengurus besar akan didakwa akhir bulan ini

Kartel baja: Bekas pengurus besar akan didakwa akhir bulan ini

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengurus besar sebuah badan awam akan didakwa di mahkamah pada akhir bulan ini berhubung isu rasuah membabitkan pembekalan baja padi bernilai lebih RM1.8 bilion.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 bagi pendakwaan itu.

Beliau berkata, pihaknya juga telah melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya (TPR) pada 13 Disember lalu.

“TPR telah bersetuju menuduh individu berkenaan seperti yang disyorkan dengan dua pertuduhan terhadap beliau,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Katanya, tarikh pertuduhan akan dimaklumkan kemudian bergantung kepada kelapangan TPR.

Sebelum ini, SPRM menahan reman dua bekas pengurus besar sebuah pertubuhan badan awam susulan siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menegaskan, siasatan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berhubung dakwaan penglibatan kartel dalam pengedaran dan pembekalan kontrak baja padi perlu diserahkan kepada SPRM.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dipetik berkata, pihak berkuasa mempunyai hak untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana agensi kerajaan.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin pada 1 November lalu memaklumkan, Perlembagaan Nafas digantung bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

Katanya, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan itu di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi Nafas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya