PONTIAN: Seorang wanita memohon bantuan orang ramai bagi mengesan bapa kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki yang dipelihara sejak tiga tahun lalu.
Nur Nabila Ab. Razak, 30, memerlukan surat pengesahan daripada bapa kandung kepada Muhammad Arrayan Fattah Abd. Aziz untuk diambil sebagai anak angkat yang sah.
Katanya, walaupun telah menerima surat penyerahan dari ibu Arrayan, Noriah Mat Nor, namun pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih memerlukan surat daripada bapa kandungnya.
Menurut Nur Nabila, ini kerana pada sijil kelahiran Arrayan tercatat nama bapa kandungnya, Muhammad Shahrul Imran Mohamed Shamsudin, ketika itu berusia 24 tahun pada tahun 2021.
“Arrayan diserahkan oleh ibunya ( Noriah ) kepada saya pada 7 Julai 2022 ketika bayi tersebut berusia 11 bulan di alamat no 9. Jalan Usrah, Sg. Kluang Rengit, Batu Pahat,” katanya ketika ditemui di Kampung Pontian Besar, disini, baru-baru ini.
Tambah Nur Nabila, dia mengenali Noriah ketika bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru pada tahun 2018-2019 sebelum berhenti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2019.
“Tidak pasti bagaimana Noriah masih mencari saya untuk menyerahkan anaknya kepada saya yang berusia 11 bulan, tanpa ditemani oleh Muhammad Shahrul Imran,” katanya.
Katanya, selepas proses penyerahan Arrayan di JKM Pontian pada tahun 2022, Noriah terus menghilang diri tanpa dapat dikesan dan cubaan untuk menghubungi melalui panggilan telefon juga gagal.
“Manakala Muhammad Shahrul Imran mengikut nombor kad pengenalan berasal dari Kelantan, namun dikatakan adalah rakyat Thailand, tidak tahu yang mana betul,” tambahnya.
Jelasnya, memandangkan Arrayan semakin membesar, di berharap akan mendapat pengesahan anak angkat yang dikeluarkan oleh JKM bagi urusan dokumentasi dan sebagainya.
Orang ramai yang mengetahui di mana Muhammad Shahrul Imran boleh menghubungi Nur Nabila Ab Razak menerusi talian 013-5553641 dan ibunya, Noraini Mohd Yasin (011-70286023) atau alamat rumah No 2A- Jalan Keramat Panjang, Pontian Besar, Pontian. – UTUSAN