PETALING JAYA: Polis telah merampas beberapa objek tumpul ketika menahan seorang wanita dan teman lelakinya yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, objek-objek tersebut telah diserahkan kepada pakar bagi tujuan pengesahan sama ada ia digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut.
“Kita (polis) telah menemukan beberapa objek tumpul semasa tangkapan dilakukan. Namun, untuk mengesahkan ia senjata yang digunakan dalam penderaan tersebut, polis masih menunggu laporan daripada pakar,” katanya dalam satu kenyataan.
Jumaat lalu, seorang wanita berusia 25 tahun dan teman lelakinya, 36, ditahan selepas polis menerima laporan mengenai insiden berkenaan sekitar pukul 2.36 petang.
“Ibu mangsa mendakwa anaknya yang sedang tidur tidak bernafas. Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota telah dikerah ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah didera secara berulang kali oleh suspek menggunakan objek keras dan tumpul sehingga menyebabkan kesan lebam pada muka, leher, tangan dan kaki.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa turut mengesahkan punca kematian disebabkan pendarahan dalam kepala akibat hentakan kuat.
“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh” katanya. – UTUSAN