Kanak-kanak lelaki cedera didakwa didera guru - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lelaki cedera didakwa didera guru

AIZA Salzul Hanira Zulkapli menunjukkan gambar kesan lebam pada tapak tangan anaknya didakwa dilakukan seorang guru prasekolah dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan luka dan lebam di badan, didakwa didera oleh guru prasekolah di sebuah sekolah di Jelapang di sini.

Ibu kanak-kanak itu, Aiza Salzul Hanira Zulkapli, 42, berkata, kejadian menimpa anak tunggalnya itu dikesan pada September lalu selepas melihat terdapat kesan luka dan merah di telinga kiri kanak-kanak terbabit akibat ditarik dan dipulas seorang guru wanita.

Katanya, kejadian itu berulang apabila anaknya mengadu dicubit di tulang rusuk kanan selain terdapat lebam di bahagian pinggang dan diketuk di kepala.

“Pada mulanya, saya ingatkan kanak-kanak lain yang buat, jadi saya tidaklah hiraukan perkara itu sehinggalah anak beritahu yang dia dirotan dan setiap hari dipukul di kepala oleh guru sama.

“Malah, anak juga beritahu dia turut disuruh berlari sekeliling padang seorang diri, diletak pin pada poket seluarnya, ditampar di bahagian muka selain tidak dibenarkan makan dan minum.

“Alasan guru itu berbuat demikian kerana anak saya dikatakan tidak pandai mengeja dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Bagi saya alasan itu tidak logik kerana mustahil dalam ramai pelajar, hanya anak saya seorang sahaja yang tidak siapkan kerja sekolah sehingga dihukum seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, penderaan terbaharu dialami anaknya pada 13 Disember lalu apabila kanak-kanak itu dirotan di kedua-dua tapak tangan sehingga mengalami lebam dan bengkak.

Katanya, susulan kejadian tersebut, anaknya mengalami kesakitan hingga tidak boleh tidur malam dan pemeriksaan oleh doktor Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati terdapat kecederaan tisu lembut pada tapak tangan kanak-kanak itu.

“Sejak awal lagi, saya telah membuat laporan terhadap guru itu melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) namun maklum balas yang diterima, tiada sentuhan fizikal dilakukan hasil temubual dengan pembantu dan seorang guru pendidikan Islam di prasekolah berkenaan.

“Saya juga ada membuat tiga laporan polis untuk siasatan lanjut kerana perbuatan guru itu bukan sahaja menyebabkan anak saya mengalami kecederaan fizikal malam mengalami trauma sehingga didignosis oleh pakar psikitri sebagai ‘acute stress disorder’,” katanya.

Tambahnya, dia nekad membuat pendedahan kejadian menimpa anaknya itu bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya selain menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap guru berkenaan.

“Sekarang anak saya murung dan tidak mahu ke sekolah. Dia juga berubah sikap di mana kerap meninggikan suara dan mengamuk jika inginkan sesuatu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya