IPOH: Semua kanak-kanak yang berada di bawah pengurusan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) Perak sudah dituntut oleh ibu bapa dan waris masing-masing.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, semua kanak-kanak itu sudah tidak berada di pusat perlindungan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti sebelum ini.
“Saya difahamkan semua kanak-kanak tersebut sudah dituntut oleh ibu bapa dan waris masing-masing.
“Semalam saya sempat ke pusat perlindungan itu dan mereka tidak lagi berada di sana,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Seminar Himpunan Gadis Hebat Negeri Perak di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi GPMS Perak, Mohamad Faizal Haramaini dan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak, Jamilah Zakaria.
Sebelum ini, Salbiah berkata, sebahagian besar daripada 55 kanak-kanak di bawah pengurusan GISB Holdings Perak sudah dituntut ibu bapa dan waris masing-masing menerusi Op Global.
Menerusi laporan itu, antara 55 penghuni rumah amal itu adalah kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang ditempatkan di rumah jagaan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – UTUSAN