MELAKA: Gara-gara tidak memasang besi penghadang di balkoni, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun nyaris maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Jasin Bestari petang Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, kanak-kanak itu hanya mengalami patah pergelangan kaki kanan dan dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut dipercayai terjatuh dari balkoni yang tidak dipasang besi penghadang kerana keluarga mangsa baru berpindah ke pangsapuri berkenaan.
“Kita menerima maklumat mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 5.25 petang Jumaat lalu sebelum anggota polis dari Balai Polis Bemban berkejar ke lokasi kejadian bagi mengesahkan insiden tersebut.
“Pasukan paramedik telah menjalankan rawatan awal dan mendapati mangsa disahkan mengalami patah pergelangan kaki kanan dan terus dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Jasin,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Rusli berkata, sewaktu kejadian mangsa dipercayai sedang bermain dengan abangnya yang berumur 11 tahun di balkoni depan pangsapuri tersebut.
Menurutnya, seorang saksi memberitahu semasa mangsa leka bermain berhampiran tembok balkoni yang rendah lalu terjatuh.
“Buat masa ini tiada berlakunya unsur jenayah. Mangsa telah di bawa ke Hospital Jasin dengan ditemani ibunya,” ujarnya. – UTUSAN