‘Kami tak mampu upah peguam, anak dibuli sejak sekolah’

‘Kami tak mampu upah peguam, anak dibuli sejak sekolah’

SUSPEK yang ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kebakaran sembilan buah rumah di Kupang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Ibu kepada lelaki berusia 23 tahun yang ditangkap selepas disyaki terlibat membakar sembilan buah rumah di Kupang, di sini mengakui anaknya mengalami masalah lembam dan sering menjadi mangsa buli sejak di bangku sekolah.

Wanita berusia 50-an yang enggan dikenali itu berkata, kegiatan buli itu berterusan sehingga anaknya bekerja di sebuah kilang memproses getah selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kira-kira enam tahun lalu.

“Anak sulung saya ini mengalami masalah lembam, dia tidak sukakan kekerasan dan sering menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah rendah lagi dan berterusan di tempat kerjanya.

“Tolong jangan ganggu kami, keadaan kami semakin tertekan, kami tiada duit untuk mengambil peguam bagi membela anak kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar motosikal sehingga memusnahkan sembilan rumah dalam kejadian berasingan di Kupang.

Suspek yang merupakan penganggur dan penduduk di Kupang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu bagi membantu siasatan kejadian itu yang bermula sejak 23 Disember lalu.

Menceritakan lanjut, wanita itu berkata, pernah sewaktu pulang bekerja, mulut anaknya berdarah dan anak memberitahu rakan sekerja memaksanya makan getah sekerap sehingga mulutnya terluka.

“Akhirnya dia berhenti kerja kira-kira dua tahun lalu, tetapi dia masih dibuli oleh bekas rakan sekerjanya sehinggakan dia mengalami kemurungan,” katanya sambil menangis.

Katanya, selepas empat kali polis memanggil anaknya untuk soal siasat, dia bertanyakan kepada anaknya mengenai sembilan kes kebakaran itu dan memberitahu hanya terlibat dalam kejadian pertama sahaja.

“Saya tanya dia jika terlibat dalam semua kebakaran itu, tetapi dia menafikannya. Selepas ditangkap, saya diberitahu bahawa dia hanya mengaku terlibat dalam kebakaran pertama. Jadi, saya terkejut apabila polis kaitkan anak saya dengan sembilan kes kebakaran,” katanya.

Sementara itu, salah seorang bekas rakan sekerja suspek, Mazlan Saad @ Abu Bakar, 50, yang turut kerugian apabila tiga motosikalnya dibakar berkata, lelaki itu pernah mengadu kepadanya bahawa pernah dipukul di tempat kerja beberapa tahun lalu.

“Dia sangat rajin bekerja dan ketika itu dia datang mengadu kepada saya dipukul oleh pekerja lain di kilang itu, sebagai rakan sekampung saya cuba selesaikan dengan cara baik.

“Hanya sekali itu sahaja dia mengadu, saya tidak tahu dia sering dibuli ketika berada di tempat kerja.

“Tetapi jika dituduh saya antara pembulinya, itu tidak betul kerana saya hanya pekerja kontrak dan dia staf tetap, saya tak boleh beri arahan kecuali penyelia dia sahaja. Jika sebab dendam mustahil dia berdendam dengan saya juga kerana saya tidak pernah buli dia, malah menolongnya lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya