PETALING JAYA – Terkejut dengan berita penahanan abang dan kakak iparnya yang juga penyanyi Bea Soba Bea di sempadan Thailand, pelakon, Jaa Suzuran hanya mampu memanjatkan doa.
Jelas Jaa atau Mohammad Faizal Ahmad, 30, dia enggan memberikan komen berlebihan dan menyerahkan penyiasatan kes kepada pihak berkuasa.
“Percayalah kalau ada perkara yang saya boleh cakap, memang saya nak bercerita. Siapa tak nak pertahankan keluarga?
“Sudah tentu saya terkejut sebab berlaku secara tiba-tiba. Susah saya nak jelaskan. Kalau kejadian sama berlaku kepada anda, sudah pasti anda turut terkejut.
“Kami sekeluarga sekarang hanya mampu berdoa supaya segala urusan dipermudahkan. Saya nak cakap lebih-lebih pun tak boleh sebab tiada di tempat kejadian,” katanya.
Jaa ditemui di majlis tayangan perdana filem Soloz: Game of Life, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Jaa turut memohon agar orang ramai tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan kes yang sedang melalui proses perbicaraan.
“Saya harap kita semua berhati-hati terutama dalam percakapan. Ini kerana, kita tak tahu cerita sebenar yang terjadi pada waktu kejadian.
“Saya tidak dapat nafikan saya pun sebelum ini pernah membuat spekulasi dan memberikan komen apabila sesuatu kes viral walaupun hakikatnya kita pun tiada di tempat kejadian,” ujarnya.
Sedar isu tersebut mengundang perhatian ramai, Jaa memilih tidak mengendahkan sebarang komen yang cuba memancingnya bercakap mengenai isu tersebut.
“Kadang-kadang saya memilih untuk tidak layan komen netizen dalam media sosial tetapi tak boleh nak salahkan mereka juga sebab kes ini sudah viral.
“Siapa yang tak ikuti perkembangan kes? Kini, saya dan keluarga hanya mampu bersabar. Kita nak marah pun tiada guna,” jelasnya.
Terdahulu, pada 14 Januari lalu, penyanyi dikir barat Malaysia dan lima individu lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di Pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.
Bagaimanapun penyanyi, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta empat yang lain, Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33, dan , Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil yaba.
Namun mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah (memasuki dadah dalam badan) selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memiliki pil yaba di sebuah hotel di bandar Sungai Golok jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu. – UTUSAN