Kami persoal orientasi pemikiran, bukan ketiadaan visual masjid - Pas

Kami persoal orientasi pemikiran, bukan ketiadaan visual masjid – Pas

AHMAD Fadhli Shaari ketika berucap pada program Ceramah Isu Semasa di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan, malam tadi. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas bukan mahu memperbesar isu masjid tidak dipaparkan dalam video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) berdurasi 41 saat tetapi mempersoal orientasi pemikiran yang cuba diterapkan kepada masyarakat di negara ini.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkannya sebagai jenayah berat sekiranya tindakan itu disengajakan dan jika sebaliknya, ia adalah kecuaian yang tidak boleh dimaafkan.

“Setapak demi setapak, selangkah demi selangkah dan sedikti demi sedikit proses normalisasi dilakukan supaya kita mula menerima bahawa Islam ini bukan lagi menjadi identiti dalam negara. Itu sebenarnya yang kita persoalkan,” katanya semasa berucap pada Program Ceramah Isu Semasa di Gelanggang Seni, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengeluarkan kenyataan bahawa ketidaan masjid dalam video berkenaan tidak menyebabkan syiar Islam terganggu.

“Isu itu sepatutnya sudah reda dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing bahawa video itu telah diturunkan dan akan diganti video baharu yang bakal memaparkan masjid di dalamnya.

“Tiba-tiba datang menteri agama dengan kenyataan itu. Betul ia tidak menggugat syiar Islam. Malah jika beliau tiada selaku menteri agama pun syiar Islam tidak tergugat. Bukan setakat masjid, jika Perdana Menteri tiada dalam video itupun syiar Islam tidak tergugat,” katanya.

Beliau berkata, ia bukan masalah syiar Islam tergugat atau tidak tetapi orientasi pemikiran seorang menteri yang sepatutnya menjunjung rukun negara pertama, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dan perkara tiga Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam sebagai agama Persekutuan.

“Bukan kita kata mesti ada atau wajib ada masjid, tetapi dalam keadaan video itu memaparkan kuil dan gereja sebagai simbolik kepelbagaian agama di Malaysia, secara automatik akan timbul persoalan kenapa masjid tidak turut dipaparkan.

“Paparkanlah sebagai mewakili prinsip pertama Rukun Negara. Apatah lagi dalam keadaan masjid-masjid di Malaysia menjadi tumpuan pelancong termasuk Masjid Negara dan keunikan Masjid Kampung Laut yang berusia lebih 300 tahun serta dibina tanpa sebatang paku pun,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya