PETALING JAYA: Pelakon, Hariz Hamdan, menafikan khabar angin kononnya sedang menjalin hubungan istimewa dengan penyanyi dan pelakon, Nelissa Nizam.
Jelas Hariz atau Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 23, keakraban mereka hanyalah sekadar teman biasa yang sudah pernah bekerjasama dalam beberapa projek sebelum ini.
“Sejujurnya memandangkan cerita Sahak Gangster akan keluar, saya dan Nelissa berbincang untuk buat sesuatu agar lebih ramai tahu mengenai filem kami.
“Memang waktu itu kami keluar ‘dating’, tapi tiada niat lain selain promosi filem. Kami hanya berkawan sahaja.
“Tambahan pula sebelum ini kami pernah berlakon bersama, jadi keserasian itu sudah ada. Saya gembira dia jadi pasangan saya dalam cerita ini dan terima kasih kerana banyak beri sokongan menjayakan naskhah ini,” katanya.
Hariz ditemui di majlis tayangan perdana Sahak Gangster, baru-baru ini.
Tambah finalis Hero Remaja 2020 ini, dia juga tidak merancang menjalin hubungan cinta dengan sesiapa demi memberi fokus kepada kerjaya.
“Tahun ini, usia saya baru 23 tahun. Jika mahu cari pasangan pada usia ini rasanya tidak sesuai.
“Saya masih mahu kukuhkan diri dalam industri,” jelasnya.
Terdahulu, Hariz mencuri tumpuan apabila dilihat kerap memuat naik gambar bersama Nelissa Nizam di akaun Instagram. Ramai yang menurunkan komen positif sekali gus memberi petanda merestui hubungan mereka.
Dalam perkembangan lain, Hariz bakal membawakan watak utama dalam filem Sahak Gangster yang bakal menemui penonton pada 9 Januari ini.
Turut sama menjayakan filem arahan Dr. Ahamad Idham itu ialah Yana Samsudin, Usop Wilcha, Chiwan Raja Lawak dan ramai lagi. -UTUSAN