Kami bukan kaki scam - penganjur konsert nafi gagal buat ‘refund’, mental terjejas - Utusan Malaysia

Kami bukan kaki scam – penganjur konsert nafi gagal buat ‘refund’, mental terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjur konsert, MND Sport & Event, menafikan pihaknya sengaja berdiam diri mengenai isu bayaran balik tiket konsert Guess Onew Fanmeeting 2024 yang dibatalkan tahun lalu.

Jelas wakilnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, sejak September lalu pihaknya sudah membuat bayaran semula tiket hampir 50 peratus, namun proses berjalan lambat kerana berhadapan beberapa masalah.

“Sebelum ini, kami keluarkan kenyataan bahawa proses bayaran balik akan bermula pada 5 Disember. Namun ada yang salah anggap kononnya kami mahu bayar semua refund pada tarikh itu. 

“Kami tidak pernah tipu, cuma proses agak lambat kerana beberapa perkara. Pertama, kita minta pembeli tiket untuk daftarkan butiran dalam pautan yang disediakan kerana jumlah tuntutan refund lebih banyak daripada tiket terjual.

“Malah terdapat butiran pembeli yang tidak sama dengan akaun bank yang dinyatakan. Kami perlu hubungi mereka semula. Cuma jika pembeli dapatkan tiket menerusi reseller, kami memang tidak boleh bantu.

“Kedua, ketika kami cuba selesaikan isu ini satu per satu. Pembeli tiket tidak sabar dan keluarkan kenyataan di media sosial hingga melaporkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (Tribunal).

“Tiada masalah buat laporan kerana itu hak mereka, namun ia melambatkan proses refund kerana kami perlu melakukan semakan lebih terperinci sebab berlaku pertindihan, ada pembeli terima refund hingga dua kali,” jelasnya. 

Tambahnya lagi, walaupun tidak membuat kenyataan di media sosial, namun pihaknya sering berhubung dengan pembeli menerusi e-mel dan memberi kerjasama menghadiri sesi pendengaran di Tribunal jika diperlukan.

“Kami turut berhubung dengan pembeli tiket menerusi e-mel dan hadir ke Tribunal beberapa kali iaitu di Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Cuma kami tidak berani janjikan tempoh durasi bila agaknya semua boleh terima bayaran semula tiket  kerana ia bergantung juga kepada perkara lain seperti pihak bank dan Tribunal.

“Kalau kami kaki ‘scam’ sudah lama kami menghilang lepas ambil duit. Tapi kami di sini, masih lakukan proses refund dan anjurkan acara yang lain,” jelasnya. 

Penganjur mendedahkan sejak isu ini tular, ia turut memberi kesan kepada perniagaan serta keadaan kesihatan mental ahli keluarganya. 

“Kita akan selesaikan isu ini secepat mungkin kerana ia turut menggangu keadaan mental keluarga dan staf apabila maklumat peribadi mereka tersebar. Ada yang sampai mendapatkan rawatan pakar psikologi. 

“Kami faham, jika kami menipu dalam perniagaan, bisnes kami tidak akan kekal. Kalau mahu serang, serang sahaja syarikat kami dan bukannya ahli keluarga dan staf kami,” katanya. 

Terdahulu, 55 pembeli tiket konsert Guess Onew Fanmeeting 2024 telah menghantar notis tuntutan kerana mendakwa penganjur MND Sport & Event gagal membuat bayaran balik tiket seperti ditetapkan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya