PETALING JAYA: Penyanyi, Baby Shima, lega apabila pihak polis telah menahan seorang pemandu lori yang membuat ugutan bunuh terhadapnya di ruangan komen Facebook.
Shima atau Nor Ashima Ramli, 28, berharap tindakan yang dikenakan kepada individu tersebut dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan.
“Saya lega apabila lelaki tersebut sudah kena tahan.
“Tindakan itu diambil sebagai peringatan kepada mana-mana individu lain agar menjauhi jenayah bersifat kebencian.
“Saya harap kita berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sebarang ugutan membabitkan ancaman terhadap nyawa orang lain. Jangan didorong perasaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah penyanyi Pura-pura Bujang itu lagi, sebagai artis, sudah menjadi lumrah jika dirinya tidak berjaya mencuri hati semua lapisan masyarakat.
Namun begitu, dia tidak mahu dirinya dibenci tanpa sebab munasabah sehingga menjadi mangsa perbuatan jenayah.
“Hanya kerana tidak menyukai saya, janganlah sampai ada yang sanggup melakukan jenayah. Perkara seumpama ini wajar jadi peringatan.
“Saya tidak kisah jika ada yang tidak menyukai saya. Tapi janganlah tergamak melayangkan ugutan sebegitu kepada saya,” katanya lagi.
Terdahulu, Shima berkongsi tangkap layar komen berbaur ugutan ditinggalkan seorang pengguna Facebook (FB) dipercayai dari Sarawak.
Menerusi komen itu, pengguna berkenaan melayangkan komen supaya Baby Shima berhati-hati sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.15 malam semalam di Kota Sentosa, Kuching. -UTUSAN