SHAH ALAM: Juri tetap program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Datuk Yusry Abdul Halim tetap mengambil pendekatan memberikan komen ‘pedas’ dan lantang kepada peserta demi memperbaiki mutu persembahan.
Ujar Yusry, jika pihak juri masih berlapik memberikan komen, ada peserta mula memandang remeh aspek disiplin dan tidak serius untuk bertanding.
“Sudah minggu keempat, kalau juri masih bagi komen yang sedap didengar, peserta ada yang pandang ringan dan mula tidak serius.
“Ini ialah pertandingan, kalau mereka mahu main-main tidak seronoklah. Memang komen pedas saya pada malam ini kepada Rezza Shah kerana dia berada di sini kerana tiket imuniti.
“Saya rasa tercabar dan kecewa apabila ramai yang tersingkir, tapi dia yang tinggal tidak ambil serius,” katanya.
Yusry berkata demikian ketika mengulas mengenai komen pedasnya terhadap peserta, Rezza Shah yang mencuri perhatian semasa konsert di Studio TV3, Glenmarie, malam tadi.
Dalam pada itu, pengarah Nenek Bongkok Tiga itu juga akur sekiranya caranya memberikan komen mungkin tidak disukai setengah pihak namun itulah tanggungjawab yang digalas di kerusi juri.
“Saya tidak akan baca media sosial kerana tahu ada yang tidak bersetuju dengan saya. Namun, komen yang diberikan juga tidak bermakna saya betul, ia sekadar pendapat.
“Jika ada yang tidak boleh terima pendapat saya, tidak mengapa.
“Sama ada saya akan teruskan bersikap lantang, bergantung kepada keadaan. Kalau kita terlalu berjaga-jaga semuanya benda mahu berkata manis, baik-baik, orang tidak mahu juga.
“Orang mahukan pendapat. Kalau saya tidak beri pendapat, buat apa saya datang bekerja di sini? Kami diberi tugas untuk memberi pendapat masing-masing,” jelasnya.
Terdahulu, selain berkata peserta Rezza Shah tidak bersedia membuat persembahan, Yusry juga mendakwa Rezza mempunyai masalah disiplin namun memilih untuk tidak memanjangkan isu.
Bagaimanapun, Yusry berkata, teguran keras yang dilayangkan kepada peserta asal Kuching, Sarawak itu pada konsert minggu keempat CSOIAM adalah cara untuk membentuknya menjadi anak seni berdisiplin pada masa akan datang. -UTUSAN