KUANTAN: Seorang kakitangan jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu RM10,000 sejak dua tahun lalu.
Sumber SPRM berkata, suspek yang berusia lingkungan 40 tahun itu disyaki membuat sebanyak 41 tuntutan palsu bagi penginapan hotel berjumlah RM10,000 sejak 2023.
Menurut sumber itu lagi, suspek ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Negeri Pahang, semalam.
Pengarah SPRM negeri, Hairuzam Mohd. Amin@Hamim mengesahkan tangkapan dan memaklumkan Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana tuntutan palsu.
Sementara itu, suspek direman enam hari sehingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini. – UTUSAN