Kaji semula aspek perundangan selesai isu kenderaan berat bawa lebih muatan

Kaji semula aspek perundangan selesai isu kenderaan berat bawa lebih muatan

ANTHONY Loke Siew Fook beramah mesra selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2025 di Dewan Serbaguna MOT Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melihat semula aspek perundangan untuk menyelesaikan isu kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan pada tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia memerlukan tindakan bersepadu daripada pelbagai pihak selepas isu berkenaan berlanjutan bertahun-tahun dan tidak pernah diselesaikan secara jitu.

“Isu ini telah berlanjutan berpuluh tahun. Tak pernah ada satu masa atau mana-mana menteri sebelum ini yang bersungguh-sungguh atau berjaya menyelesaikan isu lebihan muatan ini.

“Dan saya nak menyatakan hasrat dan tekad saya untuk menyelesaikan isu ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dikenakan sebelum ini terhadap kenderaan-kenderaan berat, isu berkenaan masih tidak dapat diselesaikan sekiranya tindakan secara bersepadu tidak dilaksanakan.

“Isu ini memerlukan banyak tindakan (secara) bersepadu (dan) melihat semula kepada perundangan, ekosistem logistik termasuk kerjasama daripada pihak pelabuhan dan sebagainya. Semua ini sedang dirangka,” katanya.

Beliau berkata, MOT juga akan mengkaji kewajaran untuk mengambil tindakan ke atas pihak penerima konsain (consignee) yang turut sama berada di dalam ekosistem logistik.

“Sering kali kita mendengar daripada pihak syarikat lori atau syarikat pengangkut, dia kata terpaksa ‘overloading’ sebab bayaran diberikan pihak konsain ini sangat rendah, kalau dia tak membawa lebih muatan dia akan rugi dan tak dapat menampung kos pengangkutan untuk membayar kos minyak, pemandu dan sebagainya.

“Jadi kita nak lihat juga dari segi (beban) tanggungjawab itu, kalau kamu benarkan syarikat pengangkutan itu membawa lebih muatan, mungkin penerima konsain itu juga akan dikenakan tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya