KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Pasir Puteh dan Jeli (Baru) mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengadakan semula kongres dan pemilihan ahli jawatan kuasa badan induk itu selepas dibatalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
Setiausaha PBJ Pasir Puteh, Arif Hassan berkata, tindakan segera itu bagi membolehkan KAFA terus bergerak aktif secara sah dan terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti dilaksanakan oleh FAM.
Katanya, Walaupun Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM memutuskan kongres dan pemilihan KAFA pada Julai lalu tidak sah tetapi sehingga hari ini badan induk bola sepak negara itu hanya menggantung KAFA sebagai ahli gabungannya.
“Kongres dan pemilihan baharu itu perlu disegerakan bagi membolehkan KAFA dan ahli gabungannya membuat persiapan awal untuk aktiviti dianjurkan oleh FAM seperti Piala Presiden dan Piala Belia yang dijangka bermula April ini.
“Pada kongres itu nanti, KAFA perlu memanggil PBJ Pasir Puteh dan PBJ Jeli (Baru) untuk menyertai kongres dan pemilihan,” katanya kepada pemberita di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Arif memberitahu, pada masa pihaknya mahu FAM dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dijemput bersama sebagai badan bebas untuk memantau perjalanan kongres serta pemilihan itu nanti.
Katanya, PBJ Pasir Puteh bimbang jika terus berlaku ‘tarik tali’ dan menangguhkan perkara itu merugikan semua pihak terutama masa depan bola sepak Kelantan. – UTUSAN