Kad memori dashcam Perodua Ativa pernah diakses sebelum dirampas - Utusan Malaysia

Kad memori dashcam Perodua Ativa pernah diakses sebelum dirampas

MOHD. Nazri Abdul Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kad memori pada kamera papan pemuka (dashcam) kereta jenis Perodua Ativa dipandu Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak pernah diakses empat hari selepas kejadian perlanggaran berlaku pada 15 Disember 2023.

Bagaimanapun, pegawai penyiasat, Asisten Superintenden S. Dasarathan, 48, tidak menjelaskan secara terperinci mengenai perkara itu ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.

Rampasan terhadap kad memori dashcam berkenaan dibuat pada 20 Disember 2023.

Menurut Dasarathan yang juga saksi ke-33, berdasarkan laporan analisa forensik oleh Asisten Superintenden Nur Fairuz Idris ke atas kad memori dashcam kereta itu menunjukkan terdapat rakaman di antara 4 November hingga 19 Disember 2002.

Katanya, analisa forensik juga mendapati rakaman yang terdapat pada kad memori itu juga telah diakses pada 19 Disember 2023.

Tambahnya, sebanyak 130 fail video telah dikeluarkan daripada kad memori terbabit membabitkan tempoh sama.

“Semakan awal oleh saya dan pihak forensik mendapati tiada sebarang rakaman berkaitan kejadian itu. Rakaman adalah setakat 19 Disember 2022 dan dari 20 Disember 2022 hingga 15 Disember 2023, tiada rakaman direkodkan.

“Ini disahkan dengan keterangan yang menunjukkan dashcam kereta telah dialihkan semasa pemasangan ‘tint’ pada kereta tersebut sebelum ini,” katanya.

Dasarathan berkata, beliau mengambil alih siasatan kejadian perlanggaran itu daripada Asisten Superintenden Chua Sze Yuan pada 18 Disember 2023 yang mana siasatan kes itu awalnya dibuka melalui laporan trafik oleh Inspektor Jong Pit Chao daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pegawai penyiasat itu masih berada dalam pasukan ‘task force’ bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Saya menerima satu set dashcam dan kad memori jenis ‘Sandisk’ daripada Inspektor Jong yang membuat rampasan pada 20 Disember 2023 selepas menjumpainya di dalam laci ‘dashboard’ Perodua Ativa.

“Saya telah membuat pemeriksaan awal pada dashcam dan kad memori tersebut dan mendapati tiada rakaman dibuat atau wujud pada 15 Disember 2023. Bagaimanapun, pemeriksaan awal saya itu tidak konklusif dan memerlukan analisa lanjut forensik,” katanya.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui.

Pihak peguam bela pula dibarisi M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman manakala peguam pemerhati dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Syaheera Rosli.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri, 46, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.

Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet disambung pada Selasa depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya