LOS ANGELES: Pelakon, Justin Baldoni dikatakan telah membuat permohonan maaf kepada gandingannya dalam filem It Ends With Us, Blake Lively selepas perang dingin antara mereka berlarutan sejak Disember tahun lepas.
Lapor CNN, permohonan maaf tersebut dibuat aktor berusia 41 tahun itu menerusi satu rakaman suara yang ditularkan TMZ, baru-baru ini.
“Saya ingin memohon maaf. Hati saya tersentuh selepas membaca bahagian kedua pesanan anda. Saya gagal, dan anda bekerja keras untuk filem ini.
“Apa pun, saya bersyukur kerana anda memberitahu saya mengenai apa yang anda rasakan.
“Sekali lagi saya minta maaf. Saya bersalah,” katanya dalam rakaman tersebut.
Drama turun naik mahkamah membabitkan dua selebriti ini bermula apabila Lively mendakwa dia dicabul dan dikasari Baldoni.
Susulan itu, Lively telah membuat aduan mengenai perkara tersebut di jabatan hak sivil California sebelum memfailkan dakwaan di mahkamah.
Tidak berdiam diri, Baldoni memfailkan saman terhadap Lively dan suaminya, pelakon Ryan Reynolds kerana menganggap pasangan suami isteri itu membuat tuduhan palsu dan cuba memusnahkan karier seninya.
Menerusi saman yang difailkan, Baldoni juga mendakwa Lively melakukan kesalahan menerusi cubaan menukar skrip dengan pembabitan Reynolds yang mengubah skrip It Ends With Us tanpa kebenaran.