PETALING JAYA: Seorang juruterbang syarikat penerbangan tempatan rugi RM1.36 juta selepas diperdaya pelaburan tidak wujud di laman sosial Instagram sejak Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 50 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
Katanya, mangsa tidak dijanjikan pulangan segera dan hanya diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah.
“Mangsa diberikan satu pautan ke laman web aplikasi UVKXE dan kemudian diajar cara menggunakan aplikasi terbabit.
“Kemudian, mangsa telah membuat sebanyak 34 transaksi kemasukan wang berjumlah RM1.36 juta bermula Oktober sehingga Disember lalu ke dalam akaun bank berlainan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hussein berkata, mangsa hanya mendapat pulangan sekali sahaja iaitu RM4,300 daripada keseluruhan wang yang dilaburkan.
Jelasnya, suspek mengarahkan mangsa untuk melakukan pengeluaran daripada aplikasi terbabit dengan hanya menekan butang ‘icon’ withdrawal dan memasukkan jumlah yang mahu dikeluarkan.
“Suspek mendakwa wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun mangsa dalam tempoh 24 jam.
“Namun, tiada sebarang kemasukan dan pengadu rasa tertipu sebelum membuat laporan polis,” ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan di platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah. – UTUSAN