GEORGE TOWN : Sembilan lelaki serta empat wanita termasuk seorang wanita warganegara Thailand masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bermain judi di sebuah rumah perjudian terbuka, Sabtu lalu.
Kesemua tertuduh berusia 21 hingga 37 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama telah didapati bermain judi di dalam sebuah rumah perjudian terbuka pada 25 Januari lalu, kira-kira pukul 10.20 pagi, di Sri Tanjong Pinang, Tanjong Tokong, di sini.
Pendakwaan terhadap kesemua tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka dan jika sabit kesalahan kesemua mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, kesemua mereka didapati telah berada di sebuah bilik di rumah tersebut dan bermain judi jenis poker.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, R. Puran.
Ketika prosiding, Syairah memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dan boleh memberi pengajaran kepada kesemua tertuduh.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda yang minimum memandangkan kesemua anak guamnya telah mengaku bersalah dan telah menjimatkan masa mahkamah.
Majistret kemudian memutuskan setiap tertuduh dikenakan denda RM4,000 dan jika mereka gagal membayar denda, mereka boleh dipenjarakan selama empat bulan.-UTUSAN