Jualan Rahmah di Perak cecah RM64 juta, naik lebih 200 peratus - Utusan Malaysia

Jualan Rahmah di Perak cecah RM64 juta, naik lebih 200 peratus

KAMALLUDIN Ismail (dua dari kiri) bersama keluarga yang menghadiri Program Jualan Rahmah Madani Back To School di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Nilai jualan yang direkodkan menerusi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Perak mencecah RM64.1 juta sepanjang tahun 2024.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Datuk Kamalludin Ismail berkata, jumlah itu meningkat 221 peratus berbanding 2023 yang bernilai RM19.9 juta.

Jelasnya, peningkatan itu turut disumbangkan hasil jumlah bilangan pengunjung yang meningkat sebanyak 107 peratus iaitu daripada 800,754 pengunjung kepada 1,658,225 berbanding tahun 2023.

“Dari segi penjimatan yang dicapai oleh pembeli, ia bergantung kepada perbelanjaan individu dan keluarga. Namun misalnya sebuah keluarga berbelanja RM200 bagi satu minggu, menerusi pembelian di PJRM mereka boleh berjimat antara RM30 hingga RM40.

“Contohnya beras, biasa harga di pasaran RM20 tetapi di PJRM kita jual RM15. Di situ sahaja jimat antara RM4 hingga RM5 sekampit. Itu belum lagi mengambil kira pembelian minyak, tepung dan lain-lain,” katanya kepada pemberita semasa meninjau PJRM Back To School di sini hari ini.

Katanya, sepanjang tahun 2024, KPDN Perak berjaya melaksanakan 945 PJRM dan jelasnya jumlah itu melebihi sasaran 552 program yang ditetapkan melibatkan kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri serta 24 Parlimen.

Mengenai PJRM Back To School di Perak, Kamalludin berkata, program itu dianjurkan sempena cuti sekolah bermula 18 Januari hingga 16 Februari depan.

Beliau menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar tidak ketinggalan mengunjungi jualan tersebut memandangkan kelengkapan barangan keperluan harian dan persekolahan anak-anak mengalami potongan harga antara 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.

Katanya, sebanyak 37 program PJRM Back To School di Perak telah diatur melibatkan kesemua kawasan Parlimen bagi tahun ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya