PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia melaksanakan sepenuhnya penggunaan perjanjian jual beli secara elektronik (e-SPA) dalam usaha menambah baik urusan transaksi perumahan lebih telus dan cekap.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, menerusi sistem itu, semua proses urus niaga antara pihak pemaju dan pembeli dilakukan secara digital tanpa perlu penggunaan dokumen bercetak.
Katanya, kaedah ini melalui Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) yang ditambah baik malah, menawarkan perkhidmatan atas talian kepada bank.
“Inisiatif ini seiring dengan usaha KPKT memperkasakan Sistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh) dan memudahkan rakyat untuk memiliki kediaman.
“Aspek pemantauan juga ditingkatkan mulai tahun ini dengan pemaju tidak lagi dihadkan hanya menghantar laporan kemajuan projek bagi setiap tempoh tiga bulan sebaliknya dibenarkan mengemas kini perkembangan projek menerusi HIMS sepanjang tahun,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem Demerit terhadap mana-mana pemaju swasta yang dikesan bermasalah dalam penyiapan projek perumahan dirancangkan.
Amalan baharu itu jelas beliau, turut membabitkan ahli lembaga pengarah dari syarikat tersebut dan bakal menggantikan kaedah sistem senarai hitam yang sedia ada selama ini. – UTUSAN